Afifah Nasir Beri Penjelasan Tentang Kantoi Dengan Aliff Aziz
KUALA LUMPUR: Adik kepada pelakon Anzalna Nasir, Afifah Nasir, mendakwa wujud salah faham berhubung insiden membabitkan seorang rakan artis dan isteri yang turut mengheret namanya dalam kes berkenaan.
Katanya, pertemuan dengan artis lelaki itu semalam adalah atas urusan produksi, bukan seperti dakwaan pihak tertentu.
Artis berusia 24 tahun itu berkata, isu berkenaan akan dijawab wakil syarikat terbabit.
"Saya masih terkejut. Kenyataan yang dikeluarkan tidak betul. Pihak produksi mengetahui perkara sebenar dan mereka akan mengeluarkan kenyataan.
"Saya sedar ramai yang menyalahkan saya sekarang. Saya minta maaf kerana tidak boleh memberi ulasan lanjut.
"Apa yang pasti, saya tidak akan membuat perkara yang menjatuhkan nama sendiri dan keluarga," katanya ketika dihubungi BH Online, hari ini.
Terdahulu, kami melaporkan seorang artis lelaki kelahiran Singapura ditahan kerana dikatakan memukul isterinya di sebuah pusat hiburan di Cheras, petang semalam.
Mangsa yang masih dalam pantang anak pertama itu dikatakan ke premis hiburan terbabit bersama ibunya, kira-kira jam 4.30 petang, untuk mencari suaminya.
Sebaik tiba, mangsa marah apabila mendapati suaminya yang berusia 26 tahun bersama wanita lain dalam sebuah bilik karaoke, lalu mengambil gambar mereka sebelum berlaku pertengkaran mulut antara pasangan suami isteri itu.
Artis berkenaan dikatakan berang sebelum mengambil telefon bimbit isterinya dan memadam gambar bukti diambil sebelum mencampakkan telefon ke arah mangsa. Kejadian mengakibatkan mangsa luka di muka dan lutut akibat dipukul, selain mendakwa ditolak dengan siku oleh suaminya.
Sementara itu, Afifah yang masih baharu dalam industri hiburan berkata, pihak produksi memaklumkan penggambaran drama lakonannya dan artis terbabit terpaksa dibatalkan susulan kes itu.
"Saya terkejut apabila ramai yang menghubungi memaklumkan hari ini tiada penggambaran kerana dia (aktor) ditahan polis.
"Lebih mengejutkan apabila nama saya dikaitkan," katanya.
No comments: