Header Ads

Loading...

111 Kes Gigitan Rabies Dilaporkan

111 Kes Gigitan Rabies Dilaporkan

KUCHING: Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak memaklumkan 111 kes gigitan anjing terbaru dilaporkan hari ini.
Menurut jabatan berkenaan, kes-kes berkenaan dilaporkan di Bahagian Serian, iaitu 34 kes, Bahagian Sri Aman (26), Bahagian Kuching (19) dan Bahagian Samarahan (32).
Ini menjadikan bilangan kes kumulatif gigitan anjing yang berlaku mulai 1 April 2017 hingga hari ini berjumlah 1,651 kes, menurut kenyataan yang dikeluarkan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak di sini, hari ini.
Kenyataan itu menyebut secara kumulatifnya seramai 834 orang telah menerima vaksin anti-rabies, manakala sejumlah 160 kempen kesedaran mengenai wabak penyakit rabies telah diadakan di kawasan kampung dan sekolah yang dihadiri 31,615 peserta.
Sementara itu, katanya hari ini sehingga jam 3 petang, sebanyak 270 ekor anjing divaksinkan dalam program pemvaksinan anjing yang diadakan di Bahagian Serian, iaitu di Kampung Terbat Leban, Kampung Terbat Mawang, Kampung Mayang Kawan, Kampung Sebintin, Kampung Engkeroh, Kampung Pulau Peranuk, Kampung Krussen Kranji, Kampung Krussen Mawang dan Kampung Krussen Siu.
Esok, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (JPVS) akan mengadakan program pemvaksinan anjing secara besar-besaran di Bahagian Serian, iaitu di Kampung Mawang Tahup, Kampung Mentu Pondok, Kampung Mentu Mawang, Kampung Pulau Piranuk, Kampung Triboh, Kampung Tubih Mawang, Kampung Tubih Plaman, Kampung Tubih Behem dan Kampung Tema Saan.
Jumlah haiwan peliharaan yang telah divaksinkan sehingga hari ini adalah sebanyak 27,957 ekor, terdiri daripada 20,315 ekor anjing, 7,597 kucing dan 45 haiwan lain.
Sementara itu, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak memohon orang ramai yang mempunyai sejarah gigitan anjing dalam tempoh 1 April 2017 hingga kini supaya segera membuat pemeriksaan di mana-mana fasiliti kesihatan terdekat.
Pada masa sama, orang ramai diingatkan supaya sentiasa menghindari diri daripada gigitan haiwan terutama anjing dan sekiranya digigit, perlu mengambil langkah pencegahan segera dengan mencuci luka bahagian terkena gigitan menggunakan sabun dan air bersih yang mengalir selama 15 minit dan segera mendapatkan rawatan lanjut di klinik atau hospital berdekatan. - BERNAMA

No comments:

Powered by Blogger.