Buang Sekolah Bagi Si Pembuli
HUKUMAN berat termasuk buang sekolah perlu dikenakan kepada mana-mana pelajar yang terbabit dalam kegiatan membuli.
Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, langkah itu perlu bagi memberi pengajaran dan memastikan perkara sama tidak berulang.
"Saya kecewalah dalam masa kita bercakap berhubung kes buli, ia masih juga berlaku dan yang terbaru di (sebuah) kolej vokasional, Terengganu.
"Setakat ambil tindakan pengantungan selama 10 hari kepada pembuli ini, tak payahlah. Kita kena ambil tindakan paling keras terhadap pembuli (termasuk), buang saja dari sekolah.
"Walaupun ada yang kata kasihan dan risau masa depan pembuli menjadi gelap," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita dan Pemuda UMNO Bahagian Pasir Puteh, di Kompleks UMNO Uthmaniyah, Kampung Pulau Lima, di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Wanita UMNO Bahagian Zurina Ripin dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian, Mohamad Yusri Ismail.
Mahdzir berkata, beliau mahu semua kajian semula dilakukan terhadap peraturan dan hukuman sedia ada ke atas pelajar bermasalah.
Katanya, ibu bapa juga harus diberikan kefahaman bahaya dan kesan buli, selain mereka perlu terbuka menerima apa saja bentuk hukuman dikenakan sekiranya anak mereka terbabit kegiatan itu.
No comments: