Manusia Melakukan Kesilapan
LAPORAN menyebut beberapa laman web Malaysia digodam – tidak balas – berikutan kesalahan mencetak gambar bendera Indonesia secara terbalik dalam buku cenderamata Sukan SEA 2017.
Tindakan menggodam itu dikatakan dilakukan oleh penggodam dari Indonesia yang tidak puas hati kejadian itu. Antara laman web yang digudam ialah beahappymillionaire.com dan beliemas.com.my.
Kesilapan dalam buku cenderamata itu menyebabkan kemarahan rakyat Indonesia dan Presiden Joko Widodo menuntut permohonan maaf secara rasmi.
Dan, Jawatankuasa Penganjur Malaysia Sukan SEA 2017 (Masoc), Kementerian Luar Malaysia dan Kementerian Belia dan Sukan sudah memohon maaf di atas kesilapan itu. Tetapi, Pedang melihat masih ada rakyat Indonesia yang masih tidak dapat menerimanya.
Kerajaan Indonesia juga sudah menerima permohonan maaf itu dan memaafkannya. Wakil Presiden Indonesia, Jusuf Kalla dilaporkan berkata, semua orang pun pernah berbuat salah.
Namun, jika dibaca komen-komen dalam laman sosial Indonesia, mereka nampaknya amat marah dan masih menggesa buku cenderamata itu dicetak semula.
Malah, seorang aktivis Indonesia di kota Solo dikatakan memasang bendera Malaysia secara terbalik pada keretanya dan mengelilingi kota itu, bagi menunjukkan bantahannya. Dia mendakwa tindakan menterbalikkan bendera Indonesia dalam buku cenderamata Sukan SEA kali ini, disengajakan.
Dalam kemarahan itu, berlaku pula insiden ‘panas’ dalam stadium sepak takraw apabila regu wanita Malaysia diberi kemenangan percuma ke atas regu Indonesia yang melakukan bantahan kerana pengadil kerap menyalahkan tekong mereka kerana mengangkat sedikit kaki kirinya ketika melakukan servis.
Tetapi, akhirnya Persatuan Sepaktakraw Indonesia (PSI) mengakui regu mereka telah melakukan kesilapan besar berhubung tindakan meninggalkan gelanggang ketika perlawanan menentang Malaysia, semalam.
Timbalan Presiden PSI, H. Syafrizal Bakhtiar berkata, tindakan jurulatih serta pemainnya itu kerana terlalu beremosi dan rasa kekecewaan terhadap pengadil yang bertugas.
“Namun, setelah meneliti dan melihat semula data dan video ulangan, ternyata tekong kami telah mengangkat kaki sewaktu melakukan servis dan ia adalah satu kesalahan,” katanya.
Pedang bukan untuk memperbesar-besarkan isu ini atau mencari salah siapa, sebaliknya yakin memang pihak jawatankuasa sukan SEA kali ini tidak prihatin dan tidak meneliti terlebih dahulu buku cenderamata itu.
Namun, adalah tidak adil jika rakyat Indonesia terus mengecam Malaysia, menggodam laman web Malaysia hingga menimbulkan kesulitan, hanya kerana kesilapan dalam buku cenderamata itu. Seolah-olah Indonesia tidak pernah berbuat salah.
Kesalahan itu pernah berlaku pada Sukan SEA Ke-18 yang diadakan di Jakarta dan Palembang pada 2011 lalu. Pedang siarkan gambar-gambar kesalahan pihak Indonesia yang diambil dari laman web seorang aktivis negara itu www.imajie.com.
No comments: