Header Ads

Loading...

Mydin Rugi Besar Gara-Gara Kedai Rakyat 1Malasia

Sejak Kendalikan Kedai Rakyat 1Malaysia, Mydin Kerugian Besar

PETALING JAYA: Mydin Mohamed Holdings Bhd (Mydin) mendakwa syarikat itu mengalami kerugian besar mengendalikan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) yang merupakan projek tanggungjawab sosial korporatnya (CSR).

Pengarah Urusannya, Datuk Ameer Ali Mydin bagaimanapun berkata, projek berkenaan diteruskan juga demi manfaat rakyat, walaupun banyak yang diperkatakan mengenai kegagalan operasi KR1M.

“Saya tidak akan mengulas sebarang tuduhan dibuat kerajaan kerana ia tidak akan membawa kita ke mana-mana,” katanya menerusi kenyataan kepada FMT hari ini.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan kementerian perdagangan dalam negeri, koperasi dan kepenggunaan menamatkan kontrak pengendali KR1M yang didapati menjual barang lebih mahal daripada harga pasaran.

Zahid berkata, kerajaan tidak mahu syarikat berkenaan membekalkan barang dan mengendalikan operasi KR1M lagi kerana pembungkusan serta pengedaran barangnya berkualiti rendah, tetapi dijual pada harga lebih mahal.

Mengulas lanjut, Ameer berkata, hanya mereka yang mengenalinya tahu apa yang terpaksa dilalui Mydin untuk terus bertahan dalam projek CSR itu.

KR1M yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dirasmikan pada Jun 2011 bertujuan mengurangkan beban rakyat, selain membantu memasarkan produk pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) tempatan.

Selaku pengedar dan pengendali KR1M, Ameer pada 2011 berkata, produk 1Malaysia dijual di premis itu 30% hingga 40% lebih murah daripada harga pasaran.

Pada November 2011, Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua mendakwa susu tepung dijual di KR1M dicemari bakteria E-coli, selain beberapa produk lain berkualiti rendah dan tidak semurah dijanjikan kerajaan.

Persatuan Pengguna-pengguna Standard Malaysia pula menggesa KR1M menghentikan jualan sos cili yang didakwa mengandungi tahap raksa dan plumbum melebihi paras dibenarkan Akta Peraturan-peraturan Makanan 1985.

Susulan itu, KR1M menarik balik susu tepung dari pasaran, namun enggan menghentikan jualan sos cili kerana pengendalinya menafikan dakwaan itu.

Februari lalu, Malay Mail Online memetik Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng yang menolak penafian Ameer dan mendakwa produk 1Malaysia lebih mahal daripada jenama lain.

Wakil rakyat DAP itu turut mencabar Ameer membuktikan berapa banyak produk 1Malaysia lebih murah daripada produk dijual di rangkaian lain.

No comments:

Powered by Blogger.