Rani Kulup Try Dato' Vida Pula
Abdul Rani Kulup Abdullah meluahkan hasratnya untuk menyunting pengasas produk kecantikan Vida Beauty, Datuk Seri Hasmiza Othman selepas hampir seminggu tidak menerima lampu hijau daripada Siti Zabedah Kasim mengenai hasratnya untuk memperisterikan peguam kontroversi itu.
Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibah itu berkata, beliau berharap Datuk Vida membuka peluang untuknya.
“Ayah boleh menjadi suami yang baik,” katanya kepada Sinar Online.
Sementara itu ketika ditanya bagaimana penerimaan isterinya mengenai hasratnya itu, Abdul Rani berkata, isterinya ‘tidak kisah’.
“Isteri-isteri Ayah ‘steady’,” jelasnya yang mesra disapa dengan panggilan ayah.
Sebelum ini menerusi satu perkongsian di Facebooknya Abdul Rani menyatakan kesudiannya untuk menjadikan Siti Zabedah atau lebih dikenali sebagai Siti Kasim, sebagai isterinya.
Katanya, beliau sudi memperisterikan Siti Kasim sekiranya wanita itu belum bersuami.
“Siti Kasim jangan kau kutuk, janganlah kau hina dia, dia pun manusia macam kita juga yang memerlukan kasih sayang.
“Ayah kan cinta wanita, seandai kata Siti Kasim ni…tak ada masalah bagi Ayah, Ayah boleh ambil dia sebagai isteri, kalau dia tiada suamilah, kalau ada suami tak bolehlah kan,” katanya sambil tergelak.
Dalam pada itu, Abdul Rani juga menyatakan hasrat untuk berduet dengan Datuk Vida.
“Lagu terpulang kepada Datuk Vida,” katanya.
Terdahulu, Datuk Vida yang sah bercerai talak satu pada April lalu menginginkan calon suami mempunyai mata berwarna kelabu, ala-ala jejaka mat saleh dan seseorang yang suka beli-belah.
Memetik laporan media tempatan, usahawan itu dipetik berkata, calon suaminya juga haruslah menerima beliau seadanya.
“Dia kena ada karakter yang saya mahukan, bermata kelabu tapi ada ke calon seperti itu. Dia juga kena terima diri saya seadanya. Lelaki mana sanggup terima kalau sekali ‘shopping’ saya borong 14 ‘handbag’. Pengsan lelaki tu.
“Dalam banyak-banyak resume, ada yang dari Finland dan Scotland. Tapi saya tak tengok pun lagi, takut nanti terjatuh cinta,” katanya berseloroh kepada portal Projek MMO mengenai ciri-ciri calon suami diingininya.
No comments: