Header Ads

Loading...

Kisah Tentang Imam Hanafi Berdebat Dengan Atheist

Gelisah hati Khalifah Yazid ketika itu, semua ulama di Baghdad ditewaskan dalam perdebatan dengan utusan maharaja Rom. Buntu memikirkan maruah Islam yang bakal tercalar di mata dunia. Harapannya bersandar kepada Imam Hammad bin Abi Sulaiman Asyaari, semoga mengajar Dahri, utusan Maharaja Rom itu.

Kesanggupan Imam Hammad yang pada mulanya menolak untuk berdebat dengan Dahri merupakan berita gembira kepada Khalifah Yazid. Baginda juga menetapkan majlis debat itu diadakan di Masjid Baghdad supaya orang ramai dapat mengikutinya.

Imam Hammad pula berasa susah hati. Mulutnya tidak lekang daripada mengucapkan zikir sambil berdoa memohon petunjuk bagi menghadapi masalah yang melanda umat Islam ketika itu.

Keesokan harinya selepas solat Subuh, Imam Hammad bermuzakarah dengan anak-anak muridnya. Beliau melahirkan rasa dukacita kerana masih belum mendapat ilham menghadapi lelaki bernama Dahri itu.

Kisah Kebijaksanaan Imam Hanafi 'Menundukkan' Atheis

“Malam tadi saya bermimpi berada di sebuah dusun buah-buahan yang begitu indah. Di sana saya melihat ada sepohon kayu rendang dan lebat buahnya. Tiba-tiba muncul seekor khinzir lalu memakan buah-buahan yang masak ranum dari pokok itu. Bukan setakat buah, keseluruhan pokok itu musnah kecuali batangnya. Kemudian muncul seekor harimau lalu menerkam khinzir itu,” kata Imam Hammad sambil menyatakan rasa peliknya mengenai mimpi itu.

“Tuan, izinkan saya menafsirkan mimpi itu,” tiba-tiba seorang pemuda mencelah.

“Dipersilakan,” kata Imam Hammad.

“Menurut tafsiran saya, dusun yang luas dan indah itu adalah agama Islam itu sendiri. Pokok yang berbuah lebat itu adalah sekalian ulama pada hari ini. Manakala sepohon kayu yang masih tinggal adalah diri tuan sendiri. Khinzir yang merosakkan pula adalah si Dahri. Harimau yang keluar membunuh khinzir itu adalah saya, maka izinkan saya untuk memadam kesombongan Dahri. InsyaAllah, saya dapat mengalahkannya,” sahut pemuda itu.

Imam Hammad gembira mendengar kata-kata anak muda yang paling disayanginya itu. Dia yakin dengan kemampuan anak muda tersebut. Maka dikhabarkanlah kepada Khalifah Yazid akan hal berkenaan.

Pada mulanya Khalifah Yazid ragu-ragu memandangkan umurnya yang masih muda. Tetapi Imam Hammad meyakinkan baginda bahawa beliau mempunyai ilmu yang tinggi. Akhirnya Khalifah Yazid bersetuju.

Hari yang ditetapkan telah tiba. Ramai orang berkumpul di masjid Baghdad demi menyaksikan perdebatan itu. Khalifah Yazid juga telah berada di sana dengan harapan Dahri tewas di tangan Imam muda dari Kufah.

Seperti majlis debat sebelumnya, Dahri bangun dan naik ke mimbar masjid kemudian dengan berucap dengan suara tinggi,

“Mereka menuduh aku tiada pegangan agama kerana tidak percaya wujudnya tuhan. Memang benar pernyataan itu. Kerana itu aku mencabar para ulama untuk berdebat dengan aku, Dahri yang bijaksana”.

Maka pemuda itu bangun lalu berkata, “Wahai lelaki yang sombong, orang yang tahu jawapannya pasti dapat menjawab persoalan kamu.”

Suara itu mengejutkan Dahri dan orang ramai yang berada di sana. Matanya memandang tajam ke arah anak muda tersebut.

“Anak muda yang masih hingusan, jangan masuk campur urusan orang-orang tua. Telah 40 orang ulama aku tewaskan dan aku akan cabar semua ulama agar tunduk denganku,” tempelak Dahri sambil bercekak pinggang.

“Wahai Dahri yang sombong dan tidak percaya tuhan, dengan izin Allah, saya akan menjawab segala persoalan kamu!” kata pemuda tersebut.

“Siapa kamu? Sedangkan ulama-ulama berserban besar, berjubah labuh sudah aku kalahkan, inikan pula pemuda hingusan!” lantang Dahri membidas anak muda tersebut.

“Wahai Dahri anak didik Maharaja Rom, bukankah Maharaja Rom sendiri mempercayai tuhan? Untuk apa dia menghantar kamu ke mari?” soal pemuda tersebut pula.

“Aku diperintahkan bagi mencabar ulama-ulama Islam supaya berdebat dengan aku. Selepas semua ulama aku tewaskan, baru aku pulang. Maharaja Rom akan meraikan kejayaan itu dengan memakaikan mahkota di atas kepalaku,” jawab Dahri.

“Sekiranya kamu kalah, apa hukumannya?” tanya pemuda itu lagi.

“Aku tidak akan kalah kerana tiada satu pun manusia di muka bumi ini akan dapat menjawab soalanku itu,” balas Dahri dengan angkuh.

“Pada hari ini, kamu akan saya kalahkan. Kamu akan menjadi hina dina sekembalinya kamu nanti,” kata pemuda tersebut.

“Siapa nama kamu wahai anak muda?” Soal Dahri.

“Nama sebenar saya Nukman, dan saya akan berdebat dengan kamu hari ini sambil orang ramai termasuk Khalifah akan menyaksikannya,” jawab pemuda tersebut.

“Huh, janganlah kamu bermimpi mengalahkanku. Sedangkan mereka yang berserban malah berjubah pun telah ku kalahkan,” kata Dahri dengan bongkaknya.

“Ketahuilah Dahri, Allah tidak mengurniakan kemuliaan dan kebesaran itu pada serban dan jubah labuh, tetapi Dia mengurniakan kemuliaan kepada orang yang bertakwa,” kata pemuda itu sambil membacakan ayat ke 11 surah al-Mujaadalah yang bermaksud,

“Allah meninggikan darjat orang beriman dan berilmu dengan beberapa darjat.”

Dahri segera menutup telinga kerana tidak suka mendengar ayat-ayat suci al-Quran dibacakan.

“Anak muda yang petah bercakap, kamu membuat aku marah dan memaksa aku menyahut cabaran kamu. Sekiranya kamu kalah, mahukah kamu menjadi khadam aku?” tanya Dahri dengan marah.

“Saya tidak mahu bertaruh kerana agama saya tidak membenarkannya. Tetapi sekiranya kamu kalah, mahukah kamu berjanji pulang ke negeri Rom dan jangan menjejakkan kaki kamu ke sini lagi?” jawab pemuda itu.

“Aku setuju dengan permintaan kamu itu. Aku juga akan meminta persetujuan khalifah, sekiranya kamu kalah, kamu akan menjadi khadam aku,” balas Dahri dan debat pun bermula antara mereka.

“Soalanku yang pertama, benarkah Allah itu wujud?” soal Dahri memulakan majlis dialog itu.

“Sesungguhnya, Allah itu wujud,” tegas pemuda itu.

“Sekiranya benar, bila dia dilahirkan?” soal Dahri sambil tersenyum, soalan itu yang membuatkan ramai ulama terkelu lidah.

“Allah tidak dilahirkan dan tidak pula melahirkan. Dia yang pertama, dan Dia juga yang terakhir, tidak ada sesuatu sebelumnya mahupun selepasnya,” jawab pemuda itu.

“Mustahil tiada yang mendahului, dan kemudian darinya. Buktikan dengan contoh kepadaku,” balas Dahri.

Kisah Bagaimana Imam Hanafi Berdebat Dengan Atheis

Imam muda itu menunjukkan lima jari tapak tangannya lalu berkata, “Cuba kamu lihat ibu jari ini, adakah jari sebelumnya? Cuba lihat pula jari kelingking ini, adakah jari selepasnya? Sekiranya Tuhan boleh buat jari begitu, apatah lagi diriNya.”

“Sekiranya begitu, pada tahun berapakah tuhan lahir?” soal Dahri lagi.

“Sama seperti yang ku rungkaikan tadi. Sebelum masa dan tarikh dicipta, Allah terlebih dahulu wujud. Kewujudannya tidak terikat oleh masa dan tarikh,” jawab pemuda tersebut.

“Berikan buktinya,” pinta Dahri.

“Adakah kamu tahu ilmu mengira?” tanya Imam muda tersebut.

“Sejak kecil aku sudah mengenal angka,” jawab Dahri.

“Apakah angka sebelum satu?”

“Kosong atau tiada..”

“Sekiranya angka satu itu tiada sebelumnya, mengapa kamu hairan Allah yang Maha Satu itu tidak ada yang mendahuluinya?”

Dahri terkesima kerana anak muda yang dianggap hingusan itu mudah mematahkan hujahnya. Namun, dia tidak mahu mengaku kalah lalu terus bertanya,

“Sekiranya Allah itu wujud kata kamu, dimanakah tuhan itu berada kerana setiap yang wujud pasti ada tempatnya?”

“Maha suci Allah yang tetap wujud tetapi tidak mempunyai tempat!” Jelas pemuda itu.

“Bukankah setiap yang wujud pasti ada tempatnya? Lihat pohon kayu itu tempatnya di atas tanah. Manusia wujud di muka bumi. Ikan itu wujud tempatnya di dalam air. Setiap yang wujud pasti ada tempatnya,” bantah Dahri sambil tersenyum sinis.

“Jawapannya mudah sahaja. Lihat sahaja pada diri kamu, bukankah kamu ada nyawa?” kata pemuda itu.

“Dalam tubuhku ini memang ada nyawa, malah setiap makhluk ada nyawa!” sahut Dahri.

“Adakah kamu tahu dimana letaknya nyawa? Di kepala kamukah? Di perut kah ataupun di hujung tapak kakimu?” balas beliau.

Dahri tersentak mendengarnya. Dahri tidak menyangka imam muda itu begitu pintar hinggakan soalan yang tidak terjawab oleh ulama sebelum ini mudah sahaja baginya untuk dibalas. Orang ramai mula berbisik-bisik sesama mereka.

“Dahri, jika kamu masih belum jelas, sila berikan saya segelas susu,” pinta pemuda itu.

Selepas diberi segelas susu, lalu pemuda itu menunjukkannya kepada Dahri dan bertanya,

“Adakah kamu percaya dalam susu ini mengandungi lemak?”

“Aku percaya..” jawab Dahri.

“Tunjukkan kepada aku dimana lemak itu berada? Di bahagian ataskah, tengah atau bawah sekali?” tanya pemuda itu lagi.

Sekali lagi Dahri tersentak dan terdiam. Melihat keadaan itu, maka berkatalah pemuda itu,

“Sedangkan mencari lemak susu pun kita tidak tahu mahupun mengetahui dimana terletaknya, roh dalam diri kita pun tidak diketahui, apatah lagi dimana letaknya Zat Allah!”

Dahri terpaku, mukanya merah menahan malu. Namun dia berusaha mengawal dirinya. Setelah keadaan kembali reda, beliau menyoal kembali.

“Hai anak muda, beritahu aku apa yang wujud sebelum Allah dan apa yang muncul selepasnya?” tanya Dahri.

Orang ramai menumpukan kepada pemuda tersebut.

“Jawapannya sama seperti mula-mula tadi. Tidak ada satu pun yang wujud sebelum Allah mahupun selepasnya. Allah tetap Qadim dan Azali. Dialah yang awal dan Dialah yang akhir,” tegas pemuda itu, ringkas dan padat.

“Mustahil tuhan wujud tanpa ada permulaan dan mustahil tidak ada lagi selepasnya. Apa hujahnya?” dalih Dahri.

Dengan tersenyum, pemuda itu menjelaskan, “Seperti yang ku katakan tadi, cuba lihat pada jari kamu. Lihat pada ibu jari itu. Jari apakah yang sebelumnya?” Sambil menuding ibu jarinya ke langit.

Beberapa hadirin turut melakukan sedemikian rupa.

“Pada jari kelingking pula, apa jari selepasnya?” sambung pemuda itu.

Dahri terdiam. Maka pemuda itu terus berhujah, “Sedangkan pada jari kita yang kecil ini pun tidak mampu kita fikir, apatah lagi Allah yang Maha Agung itu, yang tiada mendahului mahupun selepasnya.”

“Firman Allah surah al-Hadid ayat 3 yang bermaksud, Dialah yang awal, dialah yang akhir, dan yang zahir, dan yang batin, dan dialah yang mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.”

“Anak muda, banyak lagi soalan yang ingin ku tanyakan, tetapi sebelum itu, aku ingin bertanya, dengan siapa kamu berguru?” Tanya Dahri kerana kagum dengan lawannya.

“Guruku Imam Hammad. Dia turut berada di majlis ini, sedang mengikuti perdebatan kita. Sekiranya saya anak muridnya pun tidak kamu terlawan, apatah lagi guru saya Imam Hammad,” jawab pemuda tersebut.

Dahri mula berasa gentar dengan lawannya itu. Baru muridnya, belum lagi gurunya. Namun Dahri enggan mengalah.

“Beritahu aku keadaan Zat tuhanmu, apakah keras dan padat seperti besi, ataupun cair seperti air?” tanya Dahri lagi.

“Pernahkah kamu melihat orang sakit yang akan meninggal?” tanya pemuda itu pula.

“Selalu aku melihatnya,” jawab Dahri.

“Sebelum meninggal, pesakit masih boleh bercakap-cakap dan menggerakkan tubuhnya. Tetapi apabila meninggal dunia, dia diam dan kaku. Mengapa jadi begitu?” Soal pemuda itu.

“Kerana roh telah meninggalkan tubuhnya,” jawab Dahri.

“Pernahkah kamu melihat roh keluar dan nyawanya dicabut?” tanya pemuda itu lagi.

“Tidak,” jawab Dahri.

“Kamu tidak dapat melihat roh itu kerana ianya bukan benda padat seperti besi ataupun cair seperti air? Betul?” soal pemuda itu.

“Entahlah, aku tidak pasti,” kata Dahri.

“Sekiranya kita tidak mengetahui bagaimana bentuk roh, bagaimana kita hendak mengetahui Zat Allah.” kata pemuda itu sambil tersenyum.

“Ke arah manakah Allah sekarang menghadapkan wajahnya? Sebab segala sesuatu pasti mempunyai wajah dan arah tempat menghadap?” Dahri beralih ke soalan lain.

“Sekiranya kamu menyalakan lampu dalam gelap, ke arah manakah sinar cahayanya menghadap?”

“Sinar cahaya itu pasti akan menghadap ke seluruh arah dan penjuru.”

“Sekiranya demikian halnya dengan lampu buatan manusia, bagaimana Allah pencipta langit dan bumi? Dia nur cahaya langit dan bumi”

“Kamu percaya pada syurga?” Tanya Dahri lagi.

“Saya percaya,” jawab pemuda itu.

“Benarkah dalam syurga itu disediakan pelbagai jenis makanan dan minuman? Tetapi penghuninya tidak buang air besar dan kecil. Bukankah itu cuma khayalan?”

“Bukankah kamu pernah berada dalam perut ibu kamu selama 9 bulan? Selama dalam kandungan ibu itu, kamu juga makan dan minum. Tetapi kamu tidak pula buang air besar apatah lagi kecil. Itu baru kandungan ibu, bagaimana di syurga kelak?”

Namun Dahri masih tidak mahu berputus asa lagi. Dia memandang ke arah Khalifah Yazid yang tersenyum. Sebelum ini khalifah bermuram durja apabila ulamanya tidak dapat berhujah dengan Dahri.

Dahri berfikir seketika, mencari jalan mengalahkan lawannya.

“Ini soalanku yang terakhir. Aku yakin kamu tidak tahu apa jawapannya,” kata Dahri sambil mengeraskan suaranya. Dia berbuat demikian bagi menghilangkan rasa malunya itu.

“Dengan izin tuhan saya pasti menjawabnya,” balas pemuda tersebut.

“Anak muda yang masih hingusan, beritahu daku apa yang dilakukan tuhanmu ketika ini,” soalan itu membuatkan pemuda itu tersenyum riang. Dia seperti menduga soalan itu akan dikeluarkan.

“Soalan yang terakhir itu sungguh menarik. Ia menentukan siapa yang kalah dan siapa yang menang. Kerana soalan itu penting, maka saya perlu menjawabnya dari tempat tinggi supaya dapat didengari semua orang. Kerana itu, marilah kita bertukar tempat. Kamu turun dari mimbar itu, dan saya naik ke atas supaya suara saya jelas kedengaran,” kata pemuda tersebut.

“Baiklah, dengan senang hatinya aku turuti permintaanmu,” kata Dahri yang berasa yakin memperoleh kemenangan tersebut.

Pemuda itu naik ke atas mimbar tersebut, sambil Dahri turun ke bawah. Dia menghadap ke arah orang ramai, lalu berkata dengan suara yang lantang.

“Wahai sekelian manusia. Ketahuilah, bahawa kerja Allah sekarang ini menjatuhkan yang batil sebagaimana Dahri yang berada di atas mimbar, diturunkan Allah ke bawah mimbar. Allah juga menaikkan yang hak sebagaimana saya, yang berada di bawah tadi, telah dinaikkan ke atas mimbar masjid ini!”

“Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar!” maka bergemalah takbir daripada orang ramai. Menandakan kemenangan pemuda itu ke atas Dahri.

Mereka memuji kewibawaan pemuda tersebut yang menyelamatkan maruah Islam daripada lidah Dahri yang sesat lagi menyesatkan itu. Dahri pula terpaksa mengaku kalah dan pulang dalam kehinaan.

Begitulah kehebatan pemuda yang bernama an-Nukman bin Thabit, atau dikenali sebagai Imam Abu Hanifah yang terkenal dengan Mazhab Hanafi.

Allahu’alam… semoga dapat diambil iktibarnya.

Sumber: zulsegamat.wordpress.com

No comments:

Powered by Blogger.