Header Ads

Loading...

Pelajar Malaysia Di Jepun Mati Lemas

Pelajar Malaysia Di Jepun Mati Lemas

KUALA LUMPUR: Seorang pelajar Malaysia, Muhammad Amirul Asyraf Abdullah, 22, dilaporkan mati lemas di Sungai Arakawa, Saitama, Jepun, petang tadi.
Mangsa, pelajar tahun akhir jurusan kejuruteraan mekanikal informatiks di Universiti Meiji, Tokyo adalah pelajar tajaan Yayasan Pelajaran MARA (YPM).
Pengurus Unit Koordinasi YPM, Khairul Amri Masrakin, berkata ketika kejadian mangsa bersama 10 rakannya mengadakan program berkelah selepas tamat peperiksaan di sungai terbabit.
"Mangsa sampai di kawasan perkelahan pada jam 4 petang, ketika lapan daripada rakannya menyiapkan bahan perkelahan, mangsa bersama dua lagi rakannya pergi menyeberang sungai.
"Mangsa dikatakan tiba-tiba tenggelam dan lemas apabila tiba di kawasan tengah sungai, seorang rakannya telah sampai ke seberang manakala seorang lagi tidak jadi untuk menyeberang.
"Mangsa cuba meminta tolong, namun pelajar lain tidak dapat berbuat apa-apa," katanya ketika dihubungi BH.
Khairul Amri berkata, orang awam yang berada berhampiran membuat panggilan kecemasan dan anggota bomba yang tiba di lokasi kejadian mengambil masa selama 40 minit untuk mencari dan mengeluarkan mangsa.
"Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Red Cross Fukaya dan ketika dalam perjalanan, pasukan perubatan cuba melakukan pernafasan mulut ke mulut (CPR).
"Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital pada jam 6.30 petang waktu tempatan," katanya.
Khairul Amri berkata, pihak kedutaan telah dimaklumkan oleh wakil YPM di Jepun dan setakat jam 8 malam tadi, jenazah masih berada di hospital berkenaan.
Sementara itu, seorang kenalan Allahyarham yang enggan dikenali, berkata arwah seorang yang aktif dan gemarkan aktiviti lasak seperti mendaki gunung dan paragliding.
"Bila saya dapat tahu berita kematian arwah, saya berasa amat terkejut. Saya tidak sangka arwah meninggal kerana mati lemas, sebab saya rasa arwah pandai berenang," katanya ketika dihubungi BH.
"Arwah dalam persediaan untuk mencari pengalaman bekerja di Jepun, setelah pengajiannya di Universiti Meiji masuk tahun keempat iaitu tahun terakhir," katanya.

No comments:

Powered by Blogger.