Header Ads

Loading...

Pelajar Tunjuk Perangai Gangster

Pelajar Tunjuk Perangai Gangster

DUA pelajar kolej vokasional di Kuala Nerus cedera selepas mendakwa diserang kira-kira 20 pelajar lain dalam kejadian di sekolah berkenaan pada awal pagi hari ini.
Berikutan itu, seorang daripada pelajar semester satu Jurusan Teknologi Elektronik, Ahmad Zikrill Azim, 16, yang juga atlet boling Terengganu lebam pada badan dan dua kali pengsan manakala rakannya, Wan Ahmad Faris Zakaria, 16, cedera di kaki dan calar di badan.
Ahmad ZikrilI terpaksa dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) apabila pengsan ketika disoal siasat polis berkaitan kejadian itu selepas keluarganya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu kira-kira 3.30 petang tadi.
Dalam kejadian di asrama sekolah berkenaan kira-kira 1.30 pagi itu, Ahmad Zikrill yang sedang tidur tiba-tiba diselubung dengan selimut oleh kumpulan pelajar dipercayai senior sekolahnya sebelum dibelasah.
Mangsa hanya mampu meraung kesakitan dan pelajar lain yang melihat kejadian itu diarahkan supaya berdiam diri serta tidak campur tangan.
Kumpulan itu kemudiannya bertindak memukul Wan Ahmad Faris yang selepas pelajar berkenaan terjaga dari tidur berikutan bunyi bising.
Dua sahabat itu mendakwa bukan saja ditumbuk dan ditendang beramai-ramai dalam keadaan muka ditutup dengan selimut malah turut dihempap.
Wan Ahmad Faris ketika ditemui di HSNZ berkata, kejadian dipercayai berpunca daripada perasaan tidak puas hati apabila pelajar senior terbabit mendakwa kedua-dua mangsa tidak mengikut kehendak mereka.
"Pada mulanya mereka hanya membelasah Ahmad Zikrill tetapi selepas terdengar bunyi bising, saya terus terjaga daripada tidur dan sebaik bangun didapati mereka sedang menutup muka Ahmad Zikril menggunakan selimut dan membelasahnya sehingga dia tidak bermaya.
"Apabila menyedari saya sudah terjaga, mereka turut membelasah saya hingga menyebabkan saya muntah dan tidak mampu untuk berdiri selain kecederaan di kaki serta belakang badan," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abd Rafar ketika dihubungi mengesahkan pihaknya ada menerima laporan mengenai kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
Menurutnya, kesemua yang terbabit dalam kejadin itu sudah dikenal pasti dan kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

No comments:

Powered by Blogger.