Ustaz Azhar Idrus Nafi Kahwin Lagi
USTAZ Azhar Idrus atau turut dikenali dengan panggilan UAI tidak berkahwin baru seperti rakaman video yang tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.
Pembantu Peribadi UAI, Wan Safari Wan Ahmad berkata, video yang tular itu mendakwa Ustaz Azhar berkahwin isteri keempat tetapi dakwaan itu tidak benar.
Menurutnya, dia sendiri sudah menonton video perkahwinan yang tular itu dan memang sah ia adalah rakaman video perkahwinan Ustaz Azhar dengan isteri ketiganya pada 26 Mei 2013.
"Dalam video yang ditularkan itu, saya sendiri berada di sebelah UAI dan ia memang video lama. Setakat ini belum ada sebarang majlis perkahwinan terbaru UAI seperti yang didakwa," katanya ketika dihubungi di Kuala Terengganu, hari ini.
Menurutnya, Ustaz Azhar kini sangat sibuk dengan jadual kuliahnya pada setiap hari dan tiada majlis kahwin yang diadakan dalam waktu terdekat.
Katanya, sekiranya Ustaz Azhar melangsungkan perkahwinan terbaru atau berkahwin isteri keempat pastinya dia adalah orang pertama yang mendapat maklumat itu.
Rakaman video berdurasi dua minit 21 saat itu memaparkan majlis akad nikah Ustaz Azhar yang dipercayai diadakan di sebuah rumah dan ramai orang dilihat sedang merakam gambarnya.
Video berkenaan menunjukkan Ustaz Azhar dinikahkan bapa pengantin perempuan dengan sekali lafaz.
No comments: