Diganggu Benda Misteri Ketika Hamil
Salam Sejahtera kepada semua.
Selalunya saya hanya menjadi pembaca tegar di sini , tapi harini tengah syahdu kat ofis ni saya tiba-tiba nak share satu cerita 2 tahun lepas semasa saya tengah mengandung anak sulung saya. Saya ni kalau bab-bab supernatural nie ,suam-suam kuku jer takut dan tidak kadang-kadang bergantung pada situasi.. tapi rasanya kali ini kesan dia agak mendalam juga pada diri saya.
Ceritanya bermula semasa saya tengah mengadung 7 bulan pada masa itu. Biasalah kalau dah mengandung semestinya mengidam macam-macam dan saya masa tu mengidam nak makan scone.. Scone pulak nak scone yang dari Camaron Highland spesifik dekat Smokehouse punya… Encik Suami pun ikut saja sebab anak sulung kan. Maka mengembaralah kami ke sana. Alhamdulillah dapat makan scone tapi sebijik jer yang makan yang lain Encik suami jugak habiskan.. (hahaha).
Sepanjang di sana tidak ada apa-apa yang pelik berlaku sampailah kami balik semula ke rumah kami di Shah Alam. Sehari lepas balik tu malamnya saya rasa tak sedap hati, semuanya rasa macam tak kena.. kejap rasa nak menangis kejap rasa nak marah muka Encik suami pun tak boleh nak tengok sebab rasa annoying dan disebabkan itu adalah sedikit pertelingkahan berlaku yang membuatkan saya merajuk dan terus masuk dalam bilik. Lampu saya tutup dan terus berbaring mengiring mengadap dinding. Bilik yang selama ini sejuk malam itu terasa sangat berbahang.. saya biarkan saja .
Selang tidak lama kemudian , pintu bilik terbuka dan Encik suami memanjat ke atas katil dan terus memeluk saya. Masa tu saya masih mengiring mengadap dinding, kiranya saya berbaring membelakangi dia. Saya diam saje dalam hati agaknya Encik Suami nak memujuk saya semula (jual mahal katakan). Saya dapat rasakan tangannya mengulas-ulas lengan saya mula-mula lembut tapi kemudian saya merasa lengan saya sakit seolah tangan yang berkuku panjang sedang mengulas lengan saya. Saya diamkan lagi tapi mata yang tadi terpejam kini terbuka luas. Encik Suami semakin kuat memeluk saya dan ketika itu saya terdengar dia menghumming
“Hummmm emmmm”
Saat itu bulu roma saya menegak… suaranya sangat lain dengan suara Encik suami… baru saya perasan.. tangan yang sedang memeluk saya ketika itu sangat sejuk…seolah-olah berada lama dalam bilik berair-cond. Makin lama olesan di lengan saya bertukar menjadi cengkaman. Saya dapat merasa kuku yang panjang sedang mencakar lengan saya dan saat itu nafasnya berada dekat di rambut saya. Saya sedar sekarang yang berada dengan saya sekarang bukan suami saya.. Ya Allah dia sahaja tahu perasaannya ketika itu.
Saya terketar ketar cuba bangun tapi tubuh ibarat dipasak ke katil.. dan yang membuatkan saya terus berdesup turun dari katil apabila mendengar ‘dia’ ketawa… perlahan dan dekat di telinga saya. Saya sendiri tidak tahu macam mana saya boleh melangkah ‘dia’ dan terus keluar dari bilik.. sebaik keluar nah.. Encik suami saya sedang elok sahaja berada di sofa tengah tengok tv, terus saya meraung di situ.
Panik melihat saya meraung Encik suami menerpa kepada saya tapi waktu itu saya masih ingat saya menolak dia dan terus merangkak mahu keluar dari rumah . Dia terus memeluk saya dan saya yang masih ingat kejadian di dalam bilik tadi terus meronta. Puas jugak la En. Suami yang badannya kecil itu untuk menahan saya yang 7 bulan mengandung ini dari meronta. Akhirnya dia membaca ayat kursi dan dihembus ke muka saya barulah saya tenang tapi masih lagi menangis.
Selang beberapa minit selepas saya bertenang.. terdengar bunyi dentuman kuat dari dalam bilik kami, Bunyi barang dihempas dan diselang dengan suara seakan-akan binatang berdengus.. Encik Suami terus bangun dan melaungkan azan sekuat-kuatnya. Tapi bunyi itu seakan mahu berlawan dengan suara encik suami dan berterusan hinggalah azan tamat. Encik suami perlahan menuju ke bilik, pintu yang sedikit terbuka ditolak perlahan. Nasib baik suis lampu hanya sebelah dengan pintu. Saya menyorok di belakang suami dan apabila lampu terpasang saya mengintai ke dalam bilik.. hairan bilik kami macam biasa tiada apa-apa yang jatuh atau berubah tempat sedangkan tadi bunyinya bagaikan orang mengamuk di dalam.
Encik Suami memberi salam dan melaungkan azan sekali lagi. Selesai azan dia mangangkat tangan, mulutnya kumat kamit berdoa. selepas habis berdoa dia berkata perlahan
“Balik la kamu… kami hanya melawat kawasan kamu tak ada niat untuk kami menjemput kamu ke sini..”
Malam itu kami tidur di ruang tamu. Saya ceritakan semula apa yang berlaku. Dia menganguk dan mendengar saja. Dia ceritakan pula pada saya ketika di Camaron , kami ada mendaki ke puncak tertinggi di salah satu taman bunga ros di situ.. saat kami berada di puncak dan disitu ada satu tokong besar dia berkata ternampak sesuatu sedang menghidu asap colok disitu. Dan ketika itu saya tertegur ” Eh, ada tokong pulak…cam seram je…” ya.. terima kasih pada mulut celupar saya .. ada yang mengikut sampai ke rumah.
Alhamdulilah… tidak ada apa-apa yang terjadi selepas itu dan alhamdulillah saya melahirkan anak saya tanpa sebarang kesulitan. Tapi itulah.. ingat pesan orang tua-tua.. mulut kena jaga.
Sekian.
No comments: