Hadiah Perkahwinan Yang Paling Luar Biasa Sekali
Semasa pasangan dari Michigan ini berkahwin sedekad yang lalu, mereka telah menerima sebuah hadiah yang unik dan agak misteri. Walau bagaimanapun mereka tidak terus membuka hadiah tersebut kerana mereka pasti di dalam kotak itu ada rahsia perkahwinan yang bahagia.
Namun selepas sembilan tahun, mereka akhirnya memutuskan untuk membuka hadiah tersebut. Kathy dan Brandon Gunn dari Northville telah berkahwin pada tahun 2007.
Pada suatu hari, pada tahun 2016, pasangan itu teringat akan beberapa hadiah perkahwinan mereka.
Kathy sedar bahawa ada hadiah yang belum dibuka iaitu hadiah dengan nota yang berbunyi “Do not open…” (Jangan buka) yang diterima sembilan tahun lalu.
Di laman Facebook Love What Matters, Kathy menulis bahawa bersama hadiah itu terdapat nota yang berbunyi “Do not open until your 1st disagreement.” Hadiah tersebut adalah pemberian nenek saudaranya, Alison.
Setelah berkahwin selama hampir sedekad, Kathy mengakui bahawa mereka telah mengalami banyak perselisihan faham. Namun begitu, mereka masih belum membuka kotak pemberian Alison itu.
“Secara jujur saya fikir kami berdua mengelak untuk membuka kotak itu, kerana itu melambangkan kegagalan kami,” kata Kathy.
Dia menambah bahawa mereka fikir kotak itu mengandungi “kunci untuk menyelamatkan perkahwinan,” memandangkan nenek saudaranya telah berkahwin selama hampir setengah abad.
Selama sembilan tahun, kotak itu berada di almari sehingga mereka memutuskan untuk membukanya pada Mei 2016. “Hari ini, kami memutuskan untuk membuka kotak itu, kerana akhirnya saya mula sedar,” kata Kathy.
Di dalam kotak itu terdapat dua sampul yang mengandungi wang tunai berjumlah $200 (RM848.80) untuk setiap satu, dua gelas wain, bekalan mandi dan dua keping nota- untuk Kathy dan Brandon.
Nota untuk Kathy berbunyi, “Dapatkan pizza, udang atau apa sahaja yang kalian suka dan mandi.” Nota untuk Brandon pula berbunyi, “Dapatkan bunga dan sebotol wain.”
Kathy berkata dia mula menyedari bahawa ‘alat’ untuk memastikan perkahwinan mereka terus bahagia dan kekal bukanlah terletak di dalam kotak itu tetapi terletak dalam diri mereka sendiri.
Mereka kemudian memberitahu Alison bahawa mereka sudah membuka hadiah pemberiannya dan wanita tua itu menganggap apa yang dilakukan pasangan ini adalah sesuatu yang hebat.
Alison tahu bahawa pemberiannya sememangnya sesuatu yang istimewa tetapi dia tidak menyangka bahawa ianya begitu istimewa buat Kathy dan Brandon.
Menurut Khaty lagi, kotak itu mengandungi sesuatu di luar jangkaannya.
Ia adalah hadiah perkahwinan yang paling luar biasa buatnya.
“Adakalanya ia mengajar kami tentang toleransi, memahami antara satu sama lain, kompromi dan kesabaran,” kata Kathy. “Perkahwinan kami bertambah kuat kerana kami adalah kawan baik, pasangan dan rakan sepasukan.”
Sumber : Era Baru
No comments: